KUALA LUMPUR: Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi boleh memahat namanya sebagai penjaring gol 'chips' terbaik dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Ia susulan perancang tengah berusia 38 tahun itu mendapat undian tertinggi ketika ini selepas AFC menyenaraikan jaringannya pada 2013 dalam lima jaringan 'chips', 'lobs' dan 'scoops' terbaik Piala AFC, Khamis lalu.
Sepakan lambung Mohd Badhri atau Piya yang menghasilkan jaringan ketika Kelantan membelasah kelab dari Vietnam, SHB Da Nang 5-0 menguasai 92 peratus undian setakat semalam.
Ia sekali gus jauh meninggalkan pesaing lain dengan pemain Ceres Negros, Bienvenido Maranon berada di kedudukan kedua hanya meraih empat peratus daripada undian keseluruhan.
Bintang Myanmar yang pernah mewakili Yangon United, Kyaw Ko Ko pula di tangga ketiga dengan tiga peratus undian diikuti Thiago Cunha dan Pak Myong-song masing-masing meraih satu peratus.
Undian yang boleh dibuat peminat di laman web rasmi AFC akan berakhir Khamis ini.
Sebelum ini, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid mengharumkan nama Malaysia apabila diundi sebagai pemenang gol lencongan terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Penyerang PJ City yang pernah mewakili JDT, Safee Sali turut tersenarai dalam jaringan akrobatik terbaik Piala AFC, namun tewas kepada pemain Vietnam, Nguyen Van Quyet yang mendapat 51 peratus undian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan