KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tidak bersetuju sekiranya gaji siling diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Menerusi kenyataan ringkas di laman Twitter miliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan perkara paling penting adalah pengurusan kewangan yang baik dilakukan pengurusan kelab atau persatuan negeri.
"Pemain tidak memerlukan satu had gaji. Kelab mesti mempunyai disiplin dalam berbelanja dan sesetengah orang memerlukan profesion baharu," kata Tunku Ismail.
TMJ berkata demikian sebagai menyatakan pendiriannya selepas Setiausaha Agong Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon dilaporkan berkata pemain Liga M memerlukan gaji siling.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menjelaskan sukar untuk melaksanakan gaji siling bagi pemain Liga M.
Malah, BH Sukan sebelum ini turut melaporkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) juga menolak had gaji tertentu ditetapkan ke atas pemain.
Apa yang menjadi masalah ketika ini adalah pasukan dilihat masih belum belajar daripada pengalaman lalu apabila melakukan perbelanjaan melebihi kemampuan.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor semalam mendedahkan persatuan itu terpaksa menanggung hutang RM10.6 juta susulan perbelanjaan besar oleh pengurusan lama dalam mendapatkan pemain.
Malah, beliau turut mendedahkan ada pemain Helang Merah yang dibayar gaji terlampau tinggi mencecah RM125,000 sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan