KUALA LUMPUR: Keluarga atau kerjaya?
Itu persoalan yang berlegar di fikiran bekas penggempur kebangsaan, Khalid Jamlus yang kini tampak sedang berada dalam dilema selepas dia mengesahkan akan kembali berkhidmat dalam bidang kejurulatihan bola sepak dijangka bermula tahun depan.
Memberi bayangan akan ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Khalid bagaimanapun menjelaskan dia perlu memikirkan banyak aspek sebelum mempertimbangkan perkara itu meskipun memang menjadi impiannya untuk berkhidmat di akademi elit bola sepak negara itu.
"Sebenarnya, memanglah cita cita nak ke arah sana (AMD). Siapa yang tidak mahu ke sana kerana nampak laluan lebih mudah. Tetapi saya kena fikirkan kehidupan dan komitmen sebab kalau baru kahwin ataupun anak sudah besar, memang saya akan pergi kerana ada cita-cita yang nak dikejar.
"Tetapi fikirkan anak masih kecil, (lima, tujuh dan sembilan tahun), susah. Saya sedang fikirkan mengenai perkara ini bagaimana sama ada nak kejar (AMD) atau nak fikir keluarga," katanya ketika ditemui pada Sesi Bertemu Peminat di Bangi, kelmarin.
Justeru, Khalid mengharapkan ada rezeki untuknya di sekitar kawasan Lembah Klang yang sudah pasti akan memudahkan urusan hariannya dan dalam masih sama dapat meneruskan kerjayanya dalam bidang bola sepak.
"Sebelum ini, saya tinggalkan keluarga selama tiga ke empat tahun untuk bekerja di luar Kuala Lumpur. Di situ saya nampak kesusahan dan kepayahan untuk menguruskan keluarga ketika ini.
"Kalau saya ke sana (AMD), saya kena fikirkan ini. Harapnya jika ada rezeki berdekatan, dapatlah memudahkan saya sikit. Tetapi apa yang sah, saya akan ambil kursus kejurulatihan kelas A dahulu," katanya.
Sebagai rekod, pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2002 itu pernah menyertai barisan kejurulatihan Sime Darby FC sebelum dilantik sebagai pembantu jurulatih PDRM FA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan