ALOR SETAR: Gaji pemain yang mencecah hingga RM125,000 sebulan menjadi bualan hangat dikalangan peminat bola sepak di negeri ini apabila dilihat menjadi penyumbang kepada masalah kelab menanggung beban kewangan yang serius.
Antara faktor yang dikaitkan dengan pembayaran tinggi itu adalah keinginan kelab untuk menggondol sebanyak mungkin kejuaraan yang dipertandingkan sama ada dalam Liga Malaysia (Liga M) atau di peringkat antarabangsa.
Seorang pengurus sebuah syarikat ejen pemain yang enggan dikenali berkata perancangan mengikat pemain mahal sudah menjadi amalan biasa bagi mana-mana pasukan masa kini di arena tempatan dan antarabangsa yang meletakkan sasaran besar untuk memburu lebih dari satu piala kejuaraan dalam satu musim.
"Ini bergantung pada sasaran sesebuah kelab merancang merebut jumlah piala dipertandingkan. Jika kelab mahukan tiga piala sebagai contoh, sudah pasti ia akan cuba mendapatkan pemain berkualiti bernilai tinggi bagi memastikan perancangan berhasil.
"Pemain yang berharga tinggi ini selalunya diukur melalui banyak faktor antaranya adalah tempoh pengalaman, posisi, pencapaian (jumlah gol), usia, corak permainan serta pencapaian yang diraih dari kelab ternama terdahulu dalam dan luar negara.
"Ini belum dikira memenangi apa-apa anugerah di peringkat dalam negara ataupun antarabangsa. Jadi pada saya, kewajaran untuk sama ada memilih pemain mahal atau sebaliknya terletak pada sasaran piala yang hendak dicapai oleh sesebuah kelab itu," katanya.
Menurut sumber media yang dimuatnaik pada 2019, kadar gaji pemain tempatan di Malaysia adalah dalam lingkungan RM10,000 hingga RM80,000 sebulan.
Turut dinyatakan pemain yang dipilih mewakili skuad kebangsaan memiliki nilai gaji paling tinggi di kalangan pemain tempatan. Ada yang mencecah sehingga lebih RM70, 000 sebulan.
Mengulas lanjut, sumber yang turut memiliki pengalaman dalam mengendalikan pemain import di Liga M berkata pengurusan sesebuah kelab perlu lebih bersedia mengenalpasti kemampuan kewangan masing-masing sebelum membuat apa-apa keputusan untuk membeli pemain berstatus mahal atau sebaliknya.
"Kelab selalunya tidak akan memaklumkan jumlah bajet yang mereka miliki. Kami sebagai ejen menjangkakan jika mereka (kelab) berkehendakkan seseorang pemain berstatus mahal dan digelar 'bintang', mereka pastinya akan mempunyai peruntukan yang cukup dalam semua keadaan.
"Sebagai ejen pemain, saya rasa perlu adanya keseimbangan antara faktor kewangan kelab dan sasaran untuk mendapatkan piala pada sesuatu musim. Ini kerana jika mahukan kejayaan dalam masa singkat, kelab perlu memiliki keupayaan kewangan yang kukuh untuk mendapatkan pemain bernilai tinggi dan benar-benar berkualiti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan