Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Rabu, 29 Julai 2020

MFL sahkan SOP aksi Liga M kekal

Datuk Ab Ghani Hassan. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perubahan dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas badan pengendali liga itu mengesahkan kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan aksi diadakan tanpa kehadiran penonton.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan mengingatkan semua pasukan supaya mematuhi arahan seperti ditetapkan di dalam SOP pengelolaan perlawanan yang sudah diberikan kepada setiap pasukan bertanding.

"Sebarang pelanggaran kepada SOP adalah satu kesalahan yang berat dan menyalahi Akta 342: Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"SOP Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2020 adalah turut terpakai bagi pengelolaan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, aksi Liga Malaysia (Liga M) akan kembali bersambung 26 Ogos ini dengan perlawanan akan dilangsungkan secara satu pusingan bermula minggu kelima sehingga minggu ke-11.

Dalam perkembangan sama, MFL turut mengeluarkan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Perdana yang dikemaskini daripada kesinambungan jadual Liga M yang asal sebelum ditangguhkan akibat penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Perancangan jadual turut mengambil kira persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada bulan Oktober dan November 2020.

"MFL juga sedang memantau perkembangan terkini COVID-19 di Sabah dan Sarawak. Sebarang keputusan ke atas pasukan Sabah, Sarawak United FC dan Kuching FA akan dimaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan.

"Sehubungan dengan itu, buat masa ini jadual perlawanan Liga M 2020 adalah kekal seperti yang diedarkan," kata Ghani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan