BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Jamlus menyambut baik sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mewujudkan dana khas bagi membantu bekas pemain kebangsaan yang menghadapi masalah kewangan dan kesihatan.
Katanya, beliau antara bekas pemain yang terkesan dengan kesukaran mendapatkan perkerjaan terutama dalam mencari pasukan selepas tiga tahun tidak melatih dengan kali terakhir bergelar penolong jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia FC (PDRM FC).
"Kalau betul bagus dan ia sangat baik untuk membantu mana-mana bekas pemain kerana selain Yakeb (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) rasanya tak ada lagi badan lain yang membantu.
"Pandangan saya dengan inisiatif ini sekurang-kurangnya bekas pemain ada tempat untuk mengadu dan mencari jalan membantu kehidupan mereka.
"Saya sokong dan harap ia dapat diusahakan kerana ini adalah salah satu khidmat sosial yang murni dan baik sekali," katanya ketika ditemui pada sesi aksi bertemu peminatnya di sini, hari ini.
Arena Metro melaporkan pandangan bekas pemain Harimau Malaya, Khalid Ali yang menyeru FAM dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bekerjasama untuk mewujudkan dana khas bagi membantu bekas pemain kebangsaan.
Menurutnya, menyedari kekangan bajet oleh Yakeb yang terpaksa menanggung ramai bekas atlet bukan saja dari sukan bola sepak, ia setidak-tidaknya dapat memberi pilihan kedua buat bekas pemain mendapatkan bantuan.
Misi itu bukan mustahil kerana syarikat korporat lazimnya tidak keberatan menyalurkan dana bagi tujuan kebajikan kerana mereka memperoleh pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan