RASA kekesalan cukup dirasai bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus yang tidak dapat merealisasikan impiannya untuk beraksi di Eropah ketika di era kemuncaknya pada 2002 hingga 2005.
Berpulang menyertai sekurang-kurangnya tiga sesi pemilihan bersama tiga kelab di Jerman, Khalid mengakui hampir dilamar kelab Alamanian Aahen selepas dia berjaya memikat perhatian dengan meledak hatrik dalam aksi persahabatan bersama kelab itu.
Bagaimanapun, jurulatih yang membawanya ketika itu tiba-tiba dipecat dan Khalid terpaksa pulang ke Malaysia sebelum sekali lagi cuba dipancing kelab Jerman, SvGG Greuther Furth namun masalah kecederaan sekali lagi menghalangnya.
Jelas Khalid, sekiranya dia berjaya beraksi di Jerman pada waktu itu, sudah pasti perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak akan turut berkembang dan berjaya di bumi Eropah.
Justeru, dia mengingatkan kepada pemain muda tempatan yang mendapat peluang untuk beraksi di luar negara supaya merebut dan mengambilnya kerana ia adalah peluang keemasan yang tidak akan datang berkali-kali.
"Pergi kalau ada...jangan sia-siakan kerana bila dah bersara nanti akan mula rasa menyesal sebab tak rebut peluang itu.
"Kalau dah pergi sekali, lepas itu balik ke Malaysia mesti nilai kita juga akan naik, jadi tak payah bimbang pasal pasukan dalam negara.
"Pergi sana raih pengalaman itu dan jadi pemain yang bagus. Saya lihat pemain kat Jepun (Hadi Fayyadh Abdul Razak) boleh pergi jauh dan tak mustahil dia akan muncul penyerang terbaik Malaysia suatu hari nanti," katanya.
Ketika ini, Hadi muncul satu-satunya pemain tempatan yang beraksi di Liga Jepun bersama kelab Fagiano Okayama dalam saingan divisyen dua negara itu di mana musim ini adalah musim kedua buat penyerang tinggi lampai itu.
Selain Hadi, nama-nama pemain muda skuad Harimau Malaya seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid turut pernah dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah yang difahamkan berminat untuk mendapatkan sentuhan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan