SUDAH tiba masanya pasukan bola sepak Kedah yang kini dibebani hutang sejumlah RM10.6 juta 'dilelong' bagi mendapatkan pemilik baharu sekali gus diswastakan seperti mana yang disyaratkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, pendirian tegas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang enggan menggunakan duit kerajaan negeri adalah tepat dan bijak.
Malah, berdasarkan polisi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga tidak menggalakkan dana rakyat digunakan untuk bola sepak sebaliknya ia perlu dijana menerusi penajaan, hasil jualan barangan pasukan ataupun pelaburan dari pemilik kelab.
Katanya, Sanusi tidak perlu membebankan diri mencari penaja tetapi segera mempercepatkan penjualan pasukan dengan mencari pemilik kelab.
Jelasnya lagi, Presiden KFA itu boleh saja menggubal perlembagaan persatuan dengan memisahkan pengurusan pasukan dan KFA agar ia dapat diswastakan selari dengan kemahuan FIFA.
"Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh Presiden KFA adalah melakukan audit dalaman secara terperinci. Selepas itu buat lelongan kepada sesiapa yang berminat untuk membeli pasukan Kedah.
"Kalau nak jual seringgit pun boleh di mana selepas itu pemilik baru mesti menjelaskan hutang lama sejumlah RM10.6 juta itu.
"Saya bagi contoh Chelsea, dulu (tahun 1982) kelab itu dijual pada harga £1 pound saja tetapi pemilik barunya Kenneth William Bates kena hutang mencecah £1.85 juta.
"Jadi KFA pun boleh buat. Bila dah ada pemilik, KFA boleh fokuskan soal pembangunan saja di peringkat remaja yang tidak menelan kos yang tinggi.
"Malah, duit rakyat langsung tidak akan terusik dan boleh digunakan untuk membantu pembangunan negeri dan golongan-golongan yang memerlukan," katanya.
Semalam, Sanusi yang baru dilantik sebagai Presiden KFA pada 12 Julai lalu mendedahkan, skuad Helang Merah kini berhadapan dengan bebanan tinggalan hutang lama berjumlah RM10.6 juta termasuk gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tunggakan tiket pengangkutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan