KUALA LUMPUR: Sekalipun pemain kacukan Malaysia-Jerman, Joshua Johan Bechler menyatakan minat untuk bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, namun pemain itu tampak perlu menunggu lagi untuk mendapat 'tiket' bersama pasukan itu.
Ketika ini, tampak belum tiba masanya untuk pemain itu menyarung jersi skuad kebangsaan apabila jurulatih skuad B-19, Brad Maloney mengesahkan nama pemain yang beraksi bersama skuad remaja Rot-Weiss Frankfurt itu tidak berada dalam perancangan mereka buat masa ini
Menyifatkan impian pemain berusia 17 tahun itu sebagai satu perkembangan positif buat skuad negara, namun Maloney dilihat enggan tergesa-gesa apabila mengakui penilaian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu.
"Satu perkembangan yang hebat apabila pemain muda Malaysia mahu menyertai pasukan ini tetapi ini adalah pasukan kebangsaan dan pemilihan dibuat berdasarkan merit.
"Dia memang berada dalam radar kita sejak tahun lalu. Kita mahu melihat video penuhnya beraksi tetapi tiada siapa yang dapat membekalkan kita dengan maklumat itu.
"Jadi, namanya tiada dalam pertimbangan kita buat masa ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan pemain yang beraksi sebagai bek kiri itu bakal menjadi bakat terbaru yang berpangkalan di Eropah beraksi untuk pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
Menurut laporan terbabit, satu pertemuan di antara FAM dan Joshua sudah diadakan baru-baru ini untuk membawa masuk pemain tersebut menyertai skuad B-19 negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan