Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 24 Julai 2020

Halim Darimi kenang dua insan tersayang


BEKAS jurulatih terkemuka Melaka, Halim Darimi , 77 yang membimbing skuad terbabit menjulang juara Liga Malaysia 1983, sayu mengenang dua pemergian insan yang disayangi berikutan mereka amat rapat dengannya.

Katanya, kehilangan mengejut anak didiknya Allahyarham Mahazir Taha yang juga pemain bola sepak Hang Tuah era 80-an yang meninggal dunia akibat demam panas sememangnya tidak diduga sama sekali.

Menurutnya, Allahyarham diakui amat berdisiplin di dalam dan luar padang ketika membantu Melaka muncul juara Liga Malaysia (1983) berikutan selain mudah mesra dan sentiasa menghormati dirinya, rakan sepermainan dan sesiapa sahaja.

Katanya, dia hanya mengetahui Allahyarham meninggal dunia pada penghujung Jun lalu daripada bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA), Hahi Saleh yang menghubunginya mengenai perkara berkenaan.

"Kesedihan kedua berikutan anak sulung saya yang meninggal dunia kira-kira selang seminggu selepas itu, iaitu pada 6 Julai lalu di Hospital Melaka akibat komplikasi darah tinggi.

"Allahyarham Badrul Hisham yang berusia 51 tahun anak yang sangat baik dan rapat dengan saya serta ibu serta adik-adiknya serta semua ahli keluarga yang lain," katanya.

Malah anaknya itu sering mengikutnya ke Stadium Hang Tuah dan padang bola sejak kecil ketika dia masih bergelar pemain serta selepas dilantik sebagai jurulatih pasukan Melaka.

Beliau berkata, walaupun Allahyarham tidak mewakili pasukan utama di Liga Malaysia tetapi tetap akif dengan pasukan jabatan, Liga Melaka selain juga meminati sukan sepak takraw.

Halim yang kurang sihat akibat serangan strok lebih 15 tahun lalu bagaimanapun tetap redha dengan ketentuan Ilahi selain mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak kepadanya.

Baginya, dia sudah melupakan bola sepak walaupun bertanggungjawab membimbing ramai legenda bola sepak negara termasuk Datuk Soh Chin Aun, Ramli Junit, Jantan Ali, Azmi Hassan, Lim Chuan Chin, G Torairaju, Hashim Marman dan Akop Itam.

Apapun, dia tidak menolak ada antara 12 cucu dan seorang cicitnya yang mungkin berminat dalam sukan berkenaan satu hari nanti.

Bagaimanapun, dia hanya menyerahkan perkembangan terbabit kepada mereka menentukan perjalanan karier masing-masing tambahan dia kini tidak begitu sihat seperti dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan