PDRM FA sudah ada cara lain untuk melunaskan tunggakan gaji pemain. Itulah perkara yang ditekankan oleh Setiausaha Kehormat PDRM FA, Zulkefly Yahya kepada Sinar Harian pada hari ini.
Malah Zulkefly memberi jaminan bahawa wang hasil hak penyiaran pada musim ini turut tidak digunakan untuk tujuan tersebut.
Sebaliknya wang hak penyiaran yang akan diterima dari Malaysian Football League (MFL) pada musim ini akan diginakan untuk mengurus pasukan di saingan Liga Malaysia pada musim ini.
“Wang tersebut [hak penyiaran] akan kita gunakan untuk menguruskan pasukan musim ini. Untuk hutang gaji pemain, kita ada cara lain untuk bayar balik,” kata Zulkefly.
PDRM FA sebelum ini menjadi pasukan tunggal yang dikenakan pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal menyelesaikan tunggakan gaji pada selepas 31 Januari lalu.
Malah persatuan tersebut berisiko berhadapan hukuman lebih berat sekiranya terus gagal menyediakan pelan penyelesaian yang dipersetujui oleh semua pihak menjelang tarikh akhir 28 Februari hadapan.
Bagaimanapun Zulkefly tidak menjelaskan mekanisme yang akan diguna pakai oleh persatuan itu untuk melangsaikan hutang tersebut.
“Pihak MFL memang masih belum memberitahu kami jumlah sebenar wang hak penyiaran tersebut tetapi kami yakin ia sekitar RM1 juta. Apapun Alhamdulillah, kita sangat gembira dan ia berita baik dengan MFL begitu komited akan membantu menerusi wang hak penyiaran,” tambah beliau lagi mengenai jumlah hak penyiaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan