Bekas pemain bolasepak Kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. Gambar kedil Safawi Rasid. - Foto Zulkepli Osman/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan memerlukan sekurang-kurangnya enam pemain memiliki kualiti seperti Safawi Rasid untuk memastikan Harimau Malaya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan beliau melihat Safawi sebagai satu-satunya pemain tempatan (tidak termasuk pemain kacukan dan naturalisasi) yang benar-benar mempunyai kualiti ketika ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa Harimau Malaya tidak lagi perlu mengharapkan pemain naturalisasi sekiranya lebih ramai pemain tempatan seperti Safawi dapat dilahirkan pada masa depan.
“Setakat ini Safawi saja yang nampak ada kualiti seperti pemain import, yang lain memang jauh. Jadi bagaimana pemain lain nak capai tahap macam Safawi, Akhyar (Rashid) pun tak sampai tahap itu lagi.
“Pemain kita kena kerja keras untuk jadi seperti Safawi dan semuanya terpulang kepada diri pemain. Sepatutnya pemain tempatan tidak patah semangat jika kita ambil pemain naturalisasi, tapi mereka sepatutnya berusaha lebih keras,” katanya kepada BH Sukan, semalam.
Mengulas lanjut mengenai impak naturalisasi, Jamal menjelaskan terdapat pro dan kontra tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil ‘import’ Harimau Malaya.
Beliau berkata, Harimau Malaya memang memerlukan pemain naturalisasi bagi meningkatkan prestasi pasukan dalam jangka pendek.
“Kalau kita masih dengan pemain tempatan, susah sebab standard pemain kita ketika ini sangat rendah. Jadi susah untuk kita dapatkan keputusan positif buat Harimau Malaya dalam masa yang singkat.
“Bagi jangka panjang kita boleh beri pendedahan kepada bakat muda tempatan kerana bila sampai masanya nanti, kita sudah tidak perlu lagi bergantung kepada pemain naturalisasi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan