Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Selasa, 11 Februari 2020

PBNS wajar dijadikan contoh - Hamidin



PERSATUAN Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) antara contoh terbaik dalam membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencapai objektif pelan tindakan dinamakan F:30 yang dilancarkan pada 2018.
F:30 yang meletakkan sasaran utama skuad Harimau Malaya dalam kelompok lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030 adalah simbol keseriusan FAM untuk mengubah wajah bola sepak negara.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, PBNS memahami aspirasi FAM dalam usaha memastikan bola sepak dimainkan secara kompetitif di peringkat negeri sekali gus mampu membangunkan bola sepak negara khususnya.
"Selain pertandingan sedia ada, disokong dengan aktiviti berterusan, PBNS juga memiliki Wisma PBNS sendiri di Medan Rahang. Ini bermakna PBNS berada dalam landasan yang betul," katanya yang mengadakan kunjungan hormat ke atas PBNS di Klana Resort, Seremban, hari ini.
Malah katanya, kunjungan hormat ini juga selari dengan usaha FAM mengingatkan ahli gabungan agar berfikir dan bekerja secara profesional menuju F:30.
"Ini sebahagian daripada objektif kami memastikan ahli gabungan memahami visi dan misi FAM, selain keinginan FAM untuk ahli gabungan melakukan gerak kerja mengikut kemampuan masing-masing kerana pada asasnya kita wujud untuk mempromosikan bola sepak di semua peringkat.
"Kami di FAM sememangnya sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan," katanya.
F:30 adalah pelan rancangan 12 tahun yang terbahagi kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama dari tahun 2022 dikhususkan kepada usaha membina asas kukuh menerusi tadbir urus baik, persaingan, serta pembangunan modal insan di samping infrastruktur. Ia diikuti dengan fasa dua (2023-2026) yang disasar untuk dicapai di peringkat Asia manakala fasa ketiga (2027-2030) disasar melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.
Dalam pertemuan itu, PBNS diwakili Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri bersama barisan Exco PBNS.
Tunku Syed Razman berkata, pihaknya percaya Hamidin dapat membawa perubahan positif dalam pembangunan bola sepak tempatan ke peringkat antarabangsa.
"Kami yakin di bawah pimpinan Datuk Haji Hamidin, beliau mampu melonjakkan skuad kebangsaan ke persada dunia lantaran itu, PBNS komited dalam semua usaha dan rancangan dibangunkan FAM," kata Tunku Syed Razman.
PBNS ketika ini berjaya mengekalkan saingan Liga Daerah dengan membabitkan 24 pasukan utama serta lapan pasukan B-21.
Kunjungan hormat ke atas PBNS yang kesembilan selepas FAM ke PDRM FA, Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM),Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan