Jelasnya, semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bersatu dan bersama-sama untuk mengubah dan melihat landskap bola sepak negara terus berkembang dengan baik.
“Pihak KBS tidak boleh bodoh sombong dan mempunyai sikap serba tahu. Dari peringkat awal lagi, kita perlu menjalinkan kerjasama dengan semua pihak khususnya yang ikhlas bagi memastikan landskap bola sepak negara bertambah baik.
“Dari peringkat awal lagi kita telah bekerjasama dengan baik bukan sahaja bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi termasuklah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) semuanya perlu bergerak sekali.
“Dalam usaha membangunkan bola sepak negara, satu pihak saja tidak mencukupi untuk kita melangkah dan kita perlu bergerak seperti keluarga. Kita senang bersama-sama, kita susah pun bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FAM dan PSM di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Perjanjian berkenaan menyaksikan SNBJ telah menjadi venue rasmi skuad Harimau Malaya yang juga dikenali sebagai “Rumah Harimau Malaya”.
Ini menjadikan kesemua perlawanan tempat sendiri skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020 serta perlawanan tempat sendiri bagi Piala Suzuki AFF 2020 pada November hingga Disember 2020 akan berlangsung di SNBJ.
Perjanjian itu membabitkan tempoh hingga Disember 2020, namun boleh dilanjutkan dua tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, jika kedua-dua pihak berjaya capai kata sepakat.
Sementara itu, Syed Saddiq menyambut baik usaha untuk menjual tiket aksi Harimau Malaya secara atas talian serta kerusi bernombor kerana ia dilihat memudahkan penyokong tanpa perlu berebut atau beratur panjang seperti yang berlaku sebelum ini. - K! ONLINE