Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 15 Ogos 2019

Malaysia ke separuh akhir B-18 AFF

Skuad Bawah 18 Tahun negara. - Ihsan Twitter FAM
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 18 Tahun negara (B-18) berdepan detik mendebarkan sebelum berjaya menempah pertemuan menentang Indonesia di separuh akhir Kejuaraan B-18 AFF di Vietnam, sebentar tadi.
Anak buah Brad Maloney yang sekadar memerlukan seri untuk mara ke peringkat seterusnya gagal berbuat demikian apabila tewas 0-1 di tangan juara lima kali, Thailand pada aksi di Stadium Thanh Long sekali gus membuka peluang kepada Vietnam memintas negara di tempat kedua.
Bagaimanapun, skuad negara perlu mengucapkan terima kasih kepada Kemboja selepas jaringan minit akhir pasukan itu membolehkan mereka meraih kemenangan 2-1 sekali gus meranapkan impian Vietnam mengiringi Australia yang gah selaku juara Kumpulan B.
Pada aksi terbabit, Malaysia yang turun selaku juara bertahan bermula agak longlai apabila babak pertama lebih dikuasai Thailand yang tampak lebih selesa memegang bola dan mengasak kubu Malaysia menerusi beberapa serangan bagi memburu gol pembukaan.
Memasuki minit ke-18, Thailand mengancam Malaysia namun kawalan kurang kemas Thirapak Prueangna menyaksikan bola diselamatkan penjaga gol negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil sebelum Kritsada Nontharat menguji gawang negara menerusi rembatan deras namun liar.
Gerakan sebelah sayap kiri pasukan negara pada minit ke-33 hampir membuahkan hasil selepas percubaan Muhammad Firdaus Kaironnisam ditepis Thirawooth Sraunson namun situasi itu membolehkan Thailand melancarkan serangan balas yang berjaya dinafikan Firdaus.
Gawang Malaysia terselamat di penghujung babak pertama apabila Thailand yang tampil dengan persembahan lebih kemas gagal memanfaatkan peluang susulan tampanan Thana Isor di hadapan gawang gol negara yang kosong melambung ke atas.
Bersambung babak kedua, skrip berbeza ditampilkan skuad negara apabila mereka tampak lebih bertenaga mendominasi permainan yang menyaksikan gerakan Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-48 nyaris memberikan gol pendahuluan apabila pertahanan lawan tertampan bola namun terkena palang.
Malaysia sekali lagi menarik nafas lega selepas jaringan Phoochit Petcharat pada minit ke-50 dibatalkan susulan pemain itu berada dalam keadaan ofsaid sebelum giliran Luqman menguji Thirawooth dengan percubaan deras pada minit ke-58.
Bagaimanapun, kesilapan Firdaus yang meluru keluar untuk menyekat  Sitthinan Rungrueang mengundang padah apabila Sitthinan mudah merembat masuk bola ke dalam gawang gol sekali gus memberikan gol tunggal perlawanan buat Thailand.
Ketinggalan satu gol, Malaysia memperkemas asakan dan beberapa percubaan dilakukan dalam tempoh 10 minit terakhir namun kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus membolehkan Thailand yang sudahpun tersingkir meraih kemenangan pertama mereka pada kempen kali ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan