
TAN CHENG HOE berharap prestasi cemerlang ditampilkan Harimau Malaya pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.- FOTO UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR - Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan pertama dalam mana-mana kejohanan sangat penting untuk meningkatkan motivasi pemain
Tambahnya, dia berharap pemain dapat mengatasi tekanan di ketika bersaing di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) dan kekal fokus.
“Kita tidak boleh terlalu beremosi ketika beraksi menentang Indonesia sehingga menyebabkan kita hilang fokus. Kalau kita lihat pada sejarah pertembungan Malaysia dan Indonesia, memang kedua pasukan ini seimbang, masing-masing tiada kelebihan.
“Tetapi kali ini kita nampak persiapan Indonesia lebih serius, dengan penambahan pemain naturalisasi, jadi kita tak boleh nilai berdasarkan tempo mereka pada Piala AFF sebelum ini kerana mereka lebih mantap sekarang.
“Saya juga sangat gembira dengan prestasi pasukan kita sekarang, kerana kita telah menunjukkan peningkatan dalam semua perlawanan.
“Aksi menentang Jordan (yang menduduki ranking ke-99 dunia) sebagai satu penanda aras untuk pasukan kebangsaan sama ada kita boleh bersaing atau tidak, tapi saya sangat positif mengenai perlawanan itu,” katanya.
Ditanya mengenai kerisauan keselamatan di GBK, Cheng Hoe berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telahpun menghantar wakil bagi membincangkan isu keselamatan dengan pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan dia berharap semuanya berjalan lancar.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan pangkal paha sejak dua minggu lepas, masih menjalani latihan ringan dan pihaknya sedang memantau keadaan pemain kelahiran Gambia itu dengan harapan kecederaan akan pulih dalam masa yang singkat.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan