
Penyerang skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KUALA LUMPUR: Penyerang skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri sedia membuktikan jurulatih Tan Cheng Hoe tidak membuat kesilapan dengan memanggilnya kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Tindakan Cheng Hoe membariskan Hazwan dalam senarai 27 pemain untuk aksi persahabatan berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini dipertikai beberapa pihak selepas pemain itu dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Bagi Hazwan, dia menyifatkan panggilan kali ini sebagai peluang terbaik untuk dia menyumbang sesuatu kepada Harimau Malaya terutama dari aspek pengalaman luas di peringkat antarabangsa yang dimilikinya.
"Saya rasa bersyukur sebab jurulatih masih bagi peluang menyertai skuad kebangsaan dan saya tahu saya jarang beraksi di sana (JDT)," kata Hazwan ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.
"Saya tak boleh pertikaikan sebab di sana memang ramai pemain berkualiti dan mungkin ini masanya saya sumbangkan sesuatu buat pasukan negara.
"Memang saya tidak mendapat minit permainan yang mencukupi, tapi mungkin ia bukan satu masalah kerana di sini (bersama Harimau Malaya) kami diberi latihan yang terbaik."
Selepas berdepan Jordan, Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta untuk aksi Kumpulan G Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia pada 5 September ini.
Selain itu, Hazwan turut mengakui perlu berusaha keras untuk bersaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan pemain lain terutama penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha.
"Semuanya terpulang kepada jurulatih untuk menentukan siapa yang akan diturunkan. Saya cuma perlu memberikan lebih banyak komitmen untuk berada pada prestasi terbaik.
"Jordan pasukan yang kuat dan kita tak boleh menafikannya. Kita tahu tahap mereka, tapi saya yakin dengan semua pemain yang jurulatih panggil mampu memberikan aksi terbaik buat pasukan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan