Pemain berusia 28 tahun itu jarang mendapat peluang untuk beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi persahabatan menentang Jordan, Jumaat ini, diikuti kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Dengan Cheng Hoe bakal menggugurkan empat pemain daripada senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula semalam, Hazwan terpaksa merebut tempat bersama empat lagi penyerang yang berada dalam senarai itu.
Mereka adalah penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha dari Pahang, Syafiq Ahmad (JDT), Shahrel Fikri Fauzi (Perak) dan Jafri Firdaus Chew (PKNS FC).
"Saya bersyukur kerana jurulatih masih memberi peluang pada saya. Saya tahu saya jarang dapat bermain di JDT, saya tak nafikan. Ini kerana ada banyak pemain berkualiti di sana.
“Dari segi kecergasan, saya rasa tiada masalah kerana latihan di kem kebangsaan juga berintensiti tinggi.
Terpulang kepada jurulatih nak turunkan siapa, tetapi saya akan beri komitmen yang tinggi untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama,” katanya dalam sesi latihan di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras di sini hari ini.
Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan G bagi pusingan kedua kempen kelayakan itu, akan membuka saingan menentang musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada 5 September ini.
Ia diikuti cabaran getir bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) lima hari kemudian. Turut diundi dalam kumpulan itu ialah Vietnam dan Thailand.- BERNAMA