
PRESIDEN Kafa, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (tengah) sewaktu mengadakan pertemuan dengan MFL di Kelana Jaya, baru-baru ini.- MFL
KUALA LUMPUR - Kelantan yang berdepan beberapa isu tunggakan gaji perlu segera menyelesaikan masalah tersebut jika tidak mahu mengganggu urusan permohonan pelesenan kelab terutama pada aspek pengurusan kewangan.
Ini kerana mulai tahun 2020, semua pasukan dari Liga Perdana diwajibkan mempunyai pelesenan kelab biarpun ia tidak seketat pasukan yang bersaing dalam Liga Super.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, mereka telah mengadakan pertemuan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Mohd. Shazli Shaik Mohd. bagi membincangkan isu pelesenan kelab yang menjadi perhatian utama pada musim depan.
“Perjumpaan dengan MFL juga turut membabitkan wakil dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan pandangan yang mendalam mengenai pelesenan kelab memandangkan kami baharu sahaja mengambil alih Kafa.
“Seperti sedia maklum, Kelantan menghadapi masalah yang berlarutan sejak 30 tahun lalu di bawah empat presiden yang berbeza sebelum giliran saya.
“Kami telah mempunyai susunan pakej bagi selamatkan bola sepak kelantan dan bertuah kerana melalui perjanjian persefahaman (MoU) dengan MQ Techology, satu entiti yang dinamakan TRW Sdn. Bhd. akan cuba memastikan faktor kewangan Kelantan berjalan lancar pada musim akan datang.
“Kafa juga telah melantik Datuk Seri Afandi Hamzah, seorang yang begitu berpengalaman bagi menyusun pasukan bagi hadapi musim depan dengan mengekalkan pemain tempatan berpotensi serta memburu pemain import berkaliber dari Afrika,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan