
INSIDEN pergaduhan membabitkan penyokong Pulau Pinang dan Perak pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu. Ihsan Youtube
KUALA LUMPUR: Cadangan supaya setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) memiliki pasukan keselamatan sendiri iaitu marshal stadium kembali diperkatakan selepas insiden pergaduhan membabitkan penyokong Pulau Pinang dan Perak pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.
Justeru, sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengambil langkah pencegahan terbaik iaitu dengan menguatkuasakan peruntukan supaya setiap pasukan membentuk pasukan marshall seperti dilakukan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah mencadangkan kawalan keselamatan yang lebih ketat perlu dilakukan sama ada di dalam atau di luar stadium dan juga semasa mahupun selepas perlawanan seperti dilakukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Ini kerana hukuman sedia ada seperti denda dan bermain di stadium kosong memberi kesan negatif kepada pasukan memandangkan pasukan yang terpaksa menanggung beban hasil daripada perbuatan penyokong.
“Justeru, menyediakan kawalan keselamatan adalah lebih murah daripada membayar denda kepada FAM selain memberikan keyakinan kepada penyokong. Pihak keselamatan menghadap penonton dari bawah stadium untuk menjejaki pesalah dan begitu juga pihak keselamatan perlu disediakan selepas perlawanan,” katanya.
Sebagai rekod, pada Februari 2018, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah mencadangkan semua pasukan dalam Liga M membentuk pasukan marshall untuk berkawal di stadium setiap kali perlawanan berlangsung.
Katanya, kehadiran pasukan berkenaan di stadium dilihat mampu mengatasi masalah kekecohan penyokong di stadium seperti yang berlaku pada musim sebelum ini.
Sabtu lalu, saingan Piala Malaysia antara Pulau Pinang dan Perak yang berkesudahan seri 1-1 dicemari dengan insiden kekecohan penyokong kedua-dua pasukan.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, kekecohan sudah tercetus di dalam stadium lagi dengan segelintir penyokong keduadua pasukan dilihat saling membaling objek dan melakukan provokasi.
Malah, kekecohan itu didakwa berlarutan hingga ke luar stadium selepas video pergaduhan membabitkan penyokong kedua-dua pasukan turut tersebar di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan