Dalam pertemuan kedua dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Jakarta semalam, tuan rumah berkata, ribuan anggota keselamatan akan dikerah mengawal Stadium Utama Bung Karno sepanjang perlawanan berlangsung.
Dalam mesyuarat keselamatan kedua yang diadakan di Pejabat PSSI di Jakarta, delegasi FAM dibarisi Penolong Setiausaha Agungnya, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman; Ketua Unit Keselamatan, Muhammad Ashtar Rahim serta Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ACP Kamarulzaman Maarof dan Pegawai Keselamatan Pasukan Kebangsaan, ASP Mohd. Hasbullah Saidin.
"Mesyuarat bersama Ketua Unit Keselamatan PSSI, Nugroho Setiawan itu membincangkan pelan keselamatan komprehensif bagi penyokong Malaysia yang akan hadir ke Jakarta bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
"Selepas mesyuarat berkenaan, satu perjumpaan bersama pihak Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) yang diwakili Komisiaris Besar Polisi Albert Teddy Benhard Sianipar, Komander Operasi Polda Metro Jaya telah diadakan di Ibu Pejabat Polda Metro Jaya.
"Perjumpaan itu bertujuan merangka kerjasama erat bersama pihak Polda Metro Jaya serta memperincikan perihal aspek keselamatan penyokong Malaysia sepanjang mereka berada di Jakarta nanti.
"Pihak Polda Metro Jaya dan PSSI akan melaksanakan kawalan keselamatan ketat dan teratur bagi memastikan keselamatan penyokong Malaysia pada sebelum, semasa dan selepas perlawanan terjamin," tulis FAM dalam Facebook rasmi mereka hari ini.
Ini adalah kunjungan kedua delegasi FAM ke Jakarta selepas kunjungan pertama pada 20 Ogos lalu yang turut dihadiri Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria.
"Dengan inisiatif dan kerjasama baik daripada PSSI serta pihak berkuasa Indonesia dalam hal keselamatan ini, FAM ingin mengucapkan terima kasih dan berharap segalanya berjalan lancar menjelang hari perlawanan itu," tulis FAM lagi. - UTUSAN ONLINE