
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Indonesia masih cuba meyakinkan Malaysia tiada keperluan menggunakan kereta perisai (barracuda) dalam aksi pembukaan Kumpulan G, pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Bung Karno, 5 September depan.
Memetik laporan CNN Indonesia, Pengarah Media badan bola sepak negara itu (PSSI), Gatot Widakdo berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meminta barracuda disediakan bagi membawa pemain dari tempat penginapan ke stadium sebagai langkah keselamatan.
PSSI bagaimanapun memberi jaminan perlawanan akan berlangsung dengan selamat kerana ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengawal stadium.
Katanya, mereka akan menggabungkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia untuk menjaga keselamatan sepanjang perlawanan yang dijangka berlangsung 'panas' itu.
“Semalam Malaysia masih meminta untuk disediakan kereta perisai tetapi kami cuba bicarakan keamanan yang sederhana, kami masih mencari formula,” kata Gatot kepada CNN Indonesia.
Gatot berkata, PSSI merancang untuk mengadakan perbincangan susulan dengan FAM dan pihak polis bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai persiapan bagi menghadapi perlawanan berkenaan.
PSSI dan FAM mengadakan mesyuarat pertama pada 4 Ogos lalu, diikuti pertemuan kedua di Jakarta semalam bagi membincangkan isu keselamatan pasukan serta penyokong Malaysia yang akan hadir dalam perlawanan itu.
“Memang dalam pertemuan pertama kami sudah meyakinkan kepada FAM bahawa kami akan membuat persiapan dan strategi mengenai keselamatan.
"Sebenarnya sama sahaja seperti perlawanan pasukan negara yang terdahulu. Lebih kepada laluan masuk dan tempat duduk penyokong Malaysia di bahagian mana.
“Ini termasuk juga kedatangan media dari Malaysia. Semalam selepas kami berbincang, tidak ada pemisahan tempat duduk di antara media Indonesia dan Malaysia.
"Kami juga meminta jumlah wartawan yang akan datang dari Malaysia,” tambah Gatot lagi. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan