
PEMAIN Malaysia menjalani latihan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini menjelang perlawanan persahabatan menentang Jordan esok. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Aksi persahabatan berdepan Jordan menjadi medan penting buat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi mendapatkan kombinasi terbaik menjelang saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, September ini.
Cheng Hoe berkata, perlawanan berdepan pasukan di ranking ke-99 dunia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok, amat penting dan akan mempengaruhi mata ranking skuad Harimau Malaya selain menjadi platform terakhir buat beliau melengkapkan senarai 23 pemain menghadapi pusingan kelayakan itu.
Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan G akan memulakan kempen kelayakan berkenaan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 5 September sebelum melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Sept ini.
Menjelas lanjut, Cheng Hoe menegaskan keutamaannya pada perlawanan menentang Jordan adalah mencari kesebelasan terbaik bagi membentuk pasukan terkuat dalam misi meraih tiga mata di Jakarta.
“Ini satu perlawanan ujian (berdepan Jordan) dan saya harap pemain sedar apakah tahap pasukan yang kita akan jumpa esok. Kita mahukan keputusan yang baik dan pada masa sama untuk dapatkan kombinasi pasukan terbaik.
“Sehingga hari ini, kita belum pasti mengenai kesebelasan utama. Tetapi perlawanan esok merupakan medan terakhir untuk menguji dan melihat prestasi pemain,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Jordan, di sini, hari ini.
Sebagai rekod, Malaysia dan Jordan terikat tanpa jaringan ketika pertemuan terakhir dalam aksi persahabatan di Jordan pada 2009.
Menjelang pertemuan esok, Jordan dijangka menurunkan skuad keduanya selepas enam daripada sembilan pemain utama pasukan itu akan hanya tiba di Kuala Lumpur hari ini, sementara tiga lagi terus ke Taiwan dari Jordan bagi aksi sulung pusingan kedua saingan kelayakan tersebut.
Situasi itu, bagaimanapun, tidak menjejaskan perancangan Cheng Hoe.
“Sama ada mereka turunkan barisan kedua atau pertama, kita tetap fokus kepada perlawanan kita. Ini ujian terbaik untuk pasukan kerana corak permainan Jordan lebih kurang sama dengan UAE,” jelas pengendali berusia 51 tahun itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan