
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menerima jersi kelab Tokyo FC yang disampaikan oleh Presiden kelab tersebut, Naoki Ogane. - FACEBOOK FAM
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini didedahkan kepada falsafah, tradisi dan prinsip-prinsip asas kewujudan Tokyo FC, yang merupakan pendahulu Divisyen Satu Liga J.
Selain itu, mereka turut didedahkan kaedah kerjasama dengan komuniti dan sekolah dalam memastikan pembangunan bola sepak kekal mekar di sekitar ibu kota Jepun itu.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut disambut dan dihadiahkan jersi kelab oleh Presiden Tokyo FC, Naoki Ogane.
“Lawatan ke Tokyo FC ini menunjukkan betapa pentingnya kelab mempunyai falsafah tersendiri yang selari dengan misi dan visi badan induk.
“Tokyo FC mempunyai identiti, tradisi, prinsip asas penubuhan dan falsafah pembangunan pemain serta DNA yang jelas untuk dikongsi bersama semua pemegang taruh. Ini yang harus ada dengan ahli gabungan FAM serta program pembangunan belia seperti NFDP,” kata Hamidin.
Selepas taklimat hampir dua jam oleh Pengurus Strategi Belia dan Jabatan Pembangunan Tokyo FC, Takashi Okuhara dan Pengurus Jabatan Perakaunan dan Perancangannya, Nobuki Kobayashi.
Tokyo FC yang ditubuhkan pada 1935 dengan nama Tokyo Gas Soccer Club, kini mendahului divisyen satu Liga J dan dibimbing oleh Kenta Hasegawa.
Antara nama besar yang pernah menyarung jersi Tokyo FC ialah Yuto Nagatomo dan Yuichi Doi.
“Falsafah pembangunan pemain kami pula ialah mereka yang mempunyai kelebihan dan kemahiran pelbagai untuk kepentingan ibu negara Tokyo.
“Pembangunan pemain bermula pada peringkat pertumbuhan iaitu di sekolah, seterusnya ke peringkat pembangunan pada usia Bawah-15 (B-15).
“Pemain B-18 tahun kami ada seramai 45 pemain, dibahagikan kepada dua pasukan, satu pasukan bertanding dalam Liga nasional, satu lagi di Liga Tokyo.
“Kami juga mempunyai pusat latihan sendiri yang sedia lengkap dan dengan ini kelab dapat membantu Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dalam membentuk pembangunan pasukan kebangsaan,” kata Okuhara.
Delegasi FAM turut dibawa melawat ke Stadium Ajinomoto yang dibuka secara rasmi pada 10 Mac 2001 dengan kapasiti 49,970 penyokong.
Stadium tersebut merupakan gelanggang Tokyo FC yang dikongsi bersama Tokyo Verdy, kelab divisyen dua.
Ia juga adalah stadium pertama menggunakan hak nama jenama di Jepun. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan