MFL sebelum ini telah mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru pada Jumaat lalu.
Susulan itu, TM juga telah menyiarkan satu kenyataan rasmi mengumumkan mereka bukan lagi penaja Liga Malaysia (Liga M) bermula tahun 2019 selain menyatakan gagal mencapai persetujuan bersama dengan MFL berkenaan asas komersial.
Namun, MFL dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah diambil terhadap TM melalui pemfail­an saman dan langkah tersebut diambil demi melindungi kepentingan pasukan-pasu­­­k­an bertanding dalam Liga M.
“Tempoh kontrak penajaan yang telah ditandata­ngani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari awal tahun lalu sehingga musim 2025. Terma dan syarat ini telah dipersetujui dan dimeterai bersama pada Januari 2018.
“Malangnya selepas itu, TM telah mencadangkan terma-terma baru termasuk perubah­an kepada terma asas yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama. Antara terma yang mahu dimasukkan TM adalah perubahan yang jelas bercanggah dan akan menjadikan perjanjian tersebut tidak stabil dan tidak adil,” kata MFL dalam kenya­taannya semalam.
Mengulas lanjut, MFL me­ngakui proses rundingan bersama TM telah mengambil masa yang panjang termasuk pihaknya telah menyatakan kesediaan meminda sedikit syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani bagi membantu pihak mereka.
“Bagaimanapun, TM enggan menjalankan sebarang rundingan untuk mencari penyelesaian bagi menyelesaikan isu ini.
“Justeru, MFL mengambil tindakan undang-undang ini bagi melindungi hak pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia serta memelihara kepentingan bola sepak negara. “Jumlah yang dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga telah disampaikan kepada peguamcara TM pada hari ini (semalam),” katanya.