
“MANA hak kami? Bila lagi nak bayar pitis (wang) kami? Kami memerlukan pitis bagi meneruskan kelangsungan hidup, jangan buat kami menderita sebegini, kesabaran kami juga ada hadnya,” kata bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Khairul Ramadhan Zauwawi.
Menurutnya, sudah lebih dua minggu dia dan beberapa rakan menunggu tunggakan gaji yang sepatutnya dikreditkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun masih hampa.
“Kami tidak dengki apabila ada sebahagian daripada rakan-rakan sudah dapat habuan selama dua bulan gaji pada awal Mac lalu, Alhamdulillah dan terima kasih FAM, tapi biarlah semua pemain musim lalu dapat.
“Apabila sebahagian lagi bekas pemain terpaksa melopong untuk mendapatkan pitis, ia bagaikan menunggu buah yang tidak gugur walaupun sebelum ini FAM memaklumkan sudah kreditkan pitis itu ke dalam akaun peribadi pemain masing-masing pada 7 Mac lalu.
“Lebih menyedihkan, hampir setiap hari kami mengunjungi mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik) untuk membuat semakan, namun akhirnya pulang hampa selain terpaksa berbaris panjang,” katanya.
Bekas pemain terbaik final Piala FAM 2018 itu yang mewakili rakannya dalam skuad The Sharks itu meluahkan isi hatinya berikutan kesal dengan janji FAM yang sehingga kini belum membayar tunggakan gaji mereka.
Malah, anak jati Terengganu itu juga kesal bukan setakat tunggakan gaji sebahagian pemain TCFC belum lagi dibayar, mereka juga masih tidak dapat merasai wang kemenangan selepas muncul juara Liga FAM musim lalu.
“Kami nak tanya FAM berapa lama lagi harus kami tunggu? Sebagai badan induk bola sepak negara bagilah tarikh kepada kami agar kami tidak ternanti-nanti kerana FAM sudah berjanji sebelum ini.
“Apabila FAM senyap tanpa sebarang berita dan makluman, kami makin gelisah, lebih risau dan bimbang jika wang kemenangan juara Piala FAM tahun lalu itu sudah lesap atau tidak diagihkan sebetulnya menyebabkan kami menjadi mangsa.
“Justeru, kami rayu FAM bayar segera duit kemenangan itu kepada sebahagian lagi pemain yang belum dapat kerana kami amat memerlukannya,” kata Ramadhan yang sedih mengenangkan nasib mereka yang bagaikan teraniaya.
Bekas rakan sekelabnya, Muslim Yusof juga hairan dan bengang kerana sehingga kini dia juga belum menerima sebarang bayaran sama ada tunggakan gaji atau pun wang kemenangan menjuarai Piala FAM itu.
“Saya hairan FAM maklum dah masuk, tapi belum lagi, hanya sebahagian pemain saja dapat, saya dimaklumkan perlu buat aduan kepada FAM terlebih dahulu baharu dapat tunggakan atau wang kemenangan itu, namun peliknya kami sudah muncul juara Piala FAM jadi memang semua pemain tahun lalu patut menerima ganjaran itu.
“Tapi sehingga kini, kami belum dapat apa yang dijanjikan. Bagi saya, ia tidak adil dan munasabah serta salah...sebab duit juara memang untuk pemain 2018 yang sudah bertungkus lumus bermain sehingga bergelar juara,” kata Muslim.
Difahamkan hanya sepuluh bekas pemain TCFC musim lalu dan enam barisan kejurulatihan serta pegawai sudah mendapat bayaran pada 9 Mac lalu yang dibayar melalui akaun masing-masing, selebihnya iaitu 20 lagi bekas pemain skuad itu masih menagih janji FAM.
Pada 7 Mac lalu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh persatuan itu.
Beliau berkata, pasukan PDRM sudah dikreditkan terus ke akaun individu berkenaan pada 19 Februari lalu manakala pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC pada Selasa lalu (5 Mac) dan TCFC (7 Mac).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan