Skuad B-22 negara berdepan Filipina dalam kempen Kelayakan AFC B-23
Kim Swee (dua dari kiri) bersama penolong jurulatih skuad B-23 Filipina, Randolfo Paolo Clarino (kiri), jurulatih B-23 Laos, V. Sundramoorthy dan jurulatih B-23 China, Guus Hiddink pada sidang akhbar Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 2020 di Petaling Jaya semalam.
KETUA jurulatih pasukan bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee berharap anak-anak buahnya mampu mengelak daripada 'sumpahan' skuad senior Harimau Malaya kelmarin dengan melakar kemenangan ke atas Filipina pada aksi pembukaan Kumpulan J kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 di Stadium Shah Alam malam ini.
Kelmarin, skuad senior negara kendalian Tan Cheng Hoe mengalami kekalahan 0-1 kepada Singapura pada aksi Kejohanan Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus gagal melangkah ke perlawanan akhir dan akan bertemu Afghanistan pada penentuan tempat ketiga petang esok.
Keadaan stadium yang lenggang tanpa sorakan penyokong setia negara pada malam tersebut dilihat menjadi antara punca skuad Harimau Malaya tewas kepada Singapura dan situasi itu jelas merisaukan Kim Swee yang berharap badi yang sama tidak berulang ke atas anak-anak buahnya pada pertemuan dengan Filipina malam ini.
“Setahu saya jika skuad B-22 turun bermain dalam mana-mana perlawanan, pastinya penyokong akan hadir menyaksikannya dan saya harap ia berlaku kali ini kerana kita amat memerlukan sokongan mereka supaya dapat memberi motivasi kepada pemain.
“Kehadiran penyokong dalam kejohanan kelayakan ini amat penting bukan sahaja ketika berdepan Filipina, malah untuk semua ketiga-tiga perlawanan kita dalam Kumpulan J.
“Seperti mana kita tahu, kejohanan ini sangat penting sebelum kita layak ke Olimpik Tokyo 2020 selepas ini. Justeru sokongan daripada penyokong negara sudah pasti amat diperlukan,” kata Kim Swee selepas sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.
Menurut Kim Swee, kemenangan ke atas Filipina malam ini amat penting untuk dicapai kerana ia dilihat mampu memberi suntikan semangat buat pemain apabila turun pada baki dua lagi perlawanan menentang Laos dan China.
“Apa yang penting ialah kita perlu capai kemenangan terlebih dahulu dan tidak dinafikan bahawa jumlah jaringan juga akan memainkan peranan dalam misi mendapatkan tiga mata ini. Selepas itu baharulah kita fikirkan apa langkah seterusnya yang perlu dilakukan apabila berdepan Laos dan China nanti,” ujarnya lagi.
Malaysia yang dipilih menjadi tuan rumah pusingan kelayakan bagi Kumpulan J, bakal membuka kempen menentang Filipina malam ini sebelum bertemu Laos (Sabtu) dan menamatkan saingan menentang China dua hari kemudian.
Berdasarkan format kejohanan, hanya 10 pasukan juara dan lima pasukan kedua terbaik daripada 10 kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Thailand pada Januari tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan