PETALING JAYA: ‘Keretakan hubungan’ antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan penaja rasminya, Telekom Malaysia (TM) dilihat langsung tidak menjejaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui badan induk itu tidak berdepan sebarang masalah dengan TM dengan penajaan daripada syarikat telekomunikasi itu akan terus berjalan sehingga penghujung tahun 2020.
“FAM memang sudah lama dengan T M jadi setakat ini, penajaan terus berkekalan sehingga tahun 2020,” katanya ringkas pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi itu sudah menaja pasukan itu sejak 2000 namun muncul selaku penaja utama sejak 2005.
Jumaat lalu, demi kelangsungan bola sepak negara, MFL terpaksa mengambil keputusan berat 'memutuskan hubungan' bersama penaja rasmi TM.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat kata sepakat Ahli Lembaga Pengarah dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menerusi perbincangan, Ahli Lembaga Pengarah juga membuat keputusan merujuk perkara berkenaan kepada peguam, Faisal Moideen bagi tindakan sewajarnya selepas difahamkan terma kontrak membabitkan bayaran tidak berlangsung lancar seperti dipersetujui kedua-dua pihak.
Tunku Ismail sudah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak berminat untuk menjadi penaja baharu Liga Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan