PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sentiasa meletakkan sasaran tertinggi buat skuad kebangsaan dan berpegang teguh dengan pendirian untuk memikul tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.
Untuk tempoh paling hampir, Hamidin mensasarkan layak ke Piala Asia 2023 dan sedia menjadikan jawatannya sebagai taruhan sekiranya sasaran itu gagal dilaksanakan.
"Sebagai presiden saya sentiasa ingin lihat pasukan mara sejauh mungkin dan mahu kita muncul antara kelompok 16 pasukan terbaik di Asia.
"Bukan saya takut untuk letak sasaran dan kita sasarkan skuad Datuk Ong Kim Swee (Bawah 23 tahun) layak ke Piala Asia selepas ini kerana pasukan inilah mewarisi skuad senior sekarang.
"Saya tidak pernah ada rasa takut untuk ambil tanggungjawab ini. Saya tahu bila patut saya undur diri (jika gagal)," katanya ketika ditemui, hari ini.
Berdasarkan prestasi dibawa Kim Swee di pertandingan bawah, sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan apabila pernah muncul antara lapan pasukan terbaik Asia peringkat bawah umur, B-23 di China tahun lalu.
Malah Hamidin juga merasakan memecat jurulatih bukan jalan terbaik jika sesebuah pasukan menemui kegagalan.
"Saya buat semua ini untuk negara. Keputusan untuk memecat jurulatih juga bukan jawapannya (kegagalan). Sebaliknya kita perlu lihat semula apa yang masih kurang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan