PETALING JAYA: Keputusan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menerima pencalonan merebut jawatan Exco Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak hanya mengejar populariti semata-mata.
Sebaliknya keputusan itu tegasnya, adalah berpaksikan kepada kebaikan untuk bola sepak tempatan.
Kesediaan Hamidin dilihat sebagai langkah awal untuk kebaikan bola sepak negara seiring dengan program F:30 dilancarkan sebelum ini.
"Saya turut ditawarkan sebagai Naib Presiden AFC namun saya suka memilih untuk jawatan Exco saja. Keputusan ini kerana saya tidak mahu dikatakan gila kuasa dan ia lebih kepada pembangunan bola sepak negara.
"Ia tidak bermakna saya cari populariti tetapi ia selari dengan program F:30 yang mahu pengurusan FAM ada dalam tampuk kepimpinan peringkat Asia.
"Saya tidak mahu terlalu cita-cita dan keutamaan saya ada kepada FAM. Tetapi apabila saya akan dicalonkan, ia menunjukkan Malaysia dihormati," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan