
KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) seharusnya lebih peka dalam memastikan perubahan format kelayakan Kejuaraan AFC B-23 tahun di saat akhir tidak dimanipulasi oleh pasukan lain.
Menurut jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, biarpun AFC mempunyai alasan tersendiri untuk mengubah format pertandingan namun ia haruslah diteliti dengan menyeluruh sekaligus memberi peluang sama rata buat semua pasukan bertanding.
"Perkara itu sepatutnya dimaklumkan awal sebelum kejohanan bermula kerana pasti jurulatih ada perancangan untuk setiap perlawanan.
"Mengubah saat akhir (format pertandingan) boleh mengundang pengaturan perlawanan apabila masing-masing akan gunakan kesempatan dan peluang yang ada, kira perkataan lebih manis ialah berpakat antara pasukan," katanya kepada Arena Metro.
Kelmarin, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjadi mangsa perubahan format saat akhir oleh AFC yang hanya mengambil kira dua keputusan perlawanan berbanding tiga susulan penarikan diri Pakistan dalam Kumpulan F.
Perubahan saat akhir itu nyata memberi kesan buruk kepada peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika mereka sepatutnya muncul sebagai empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan di belakang Australia, Iran dan Arab Saudi.
Namun sebaliknya berlaku apabila Malaysia sekadar berada di tangga ketujuh naib juara terbaik ekoran keputusan AFC yang hanya mengiktiraf dua aksi sahaja dalam setiap kumpulan.
Bukan itu saja, malah aksi terakhir peringkat kumpulan yang tidak dijalankan serentak menyaksikan beberapa pasukan dari Asia Barat menggunakan kelebihan dengan tiga aksi membabitkan Jordan-Syria, Arab Saudi-UAE dan Iraq-Iran berakhir seri untuk menidakkan peluang Malaysia yang beraksi lebih awal sebelum itu.
Situasi itu mencetuskan persoalan adakah keputusan itu berlaku secara kebetulan atau pun sebaliknya kerana semua pasukan yang beraksi di Zon Barat itu akan beraksi lebih lewat berbanding waktu perlawanan membabitkan pasukan di Zon Timur.
Walaupun kejayaan sesebuah pasukan akan ditentukan oleh pemain ketika atas padang namun penggunaan format seperti itu dilihat masih ada kelonggaran dan adakah ia benar-benar memihak kepada pasukan di Timur Tengah.
Bagaimanapun, Sulaiman berharap skuad negara selepas ini lebih bersedia dengan sebarang perubahan format agar tidak menjadi mangsa buat kali kedua.
"Pasukan haruslah lebih fokus selepas ini tidak terlalu bergantung pada format.
Tetapi menumpukan kepada keputusan dan jaringan dalam setiap perlawanan agar tidak terperangkap dengan perubahan format dan ia pengajaran berguna buat pasukan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan