Penggantungan tersebut dibuat dalam satu keputusan mesyuarat FAM semalam.
KUALA LUMPUR - Dua pemain import dan seorang pemain tempatan dikenakan hukuman gantung dua perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas kesalahan bertindak liar pada perlawanan Liga Super musim ini.
Tiga pemain berkenaan ialah pemain pertahanan import Kedah, Renan Alves, penyerang import, PKNS FC, Kpah Sean Sherman dan pemain tempatan PKNP FC, Ahmad Sukri Ab. Hamid.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan penggantungan tersebut dilakukan di bawah Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM yang diputuskan pada mesyuarat semalam.
Beliau memaklumkan ketiga-tiga pemain berkenaan digantung dua perlawanan termasuk satu perlawanan secara automatik, selain turut diberi amaran keras dan hukuman lebih berat sekiranya mengulangi kesalahan sama.
Renan didapati bersalah menghentak kepalanya ke atas kepala pemain PKNS FC, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada perlawanan antara Kedah dan PKNS FC di Stadium Darul Aman, 2 Mac lepas.
Sherman pula didapati bersalah selepas bertindak menyiku bahagian dada pemain import PKNP FC, Amani Manual Aguinaldo pada perlawanan antara PKNS FC dan PKNP FC di Stadium Shah Alam, 23 Februari lalu.
Ahmad Sukri pula dikenakan tindakan berkenaan selepas beliau dilaporkan menolak pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Nazmi Faiz Mansor sehingga terjatuh pada pertemuan PKNP FC dan JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 9 Mac lepas.
Dalam pada itu, Baljit berkata, pemain Piala Presiden Kuala Lumpur, Royizzat Daud digantung enam perlawanan selepas didapati bersalah melanggar Artikel 50.1(e) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat daripada kad merah yang diterimanya dalam perlawanan tersebut.
Beliau dilaporkan melanggar peraturan berkenaan pada aksi Piala Presiden antara PKNP FC dan Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, 25 Februari lepas.
Baljit berkata, Royizzat digantung tiga perlawanan selepas ini, manakala baki tiga perlawanan lagi ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain berkenaan dalam tempoh enam bulan dari tarikh surat kesalahan berkenaan diterima. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan