KUALA LUMPUR 9 Dis. - Ribuan penyokong Harimau Malaya terpaksa berputih mata apabila mereka gagal mendapatkan tiket final pertama Piala AFF yang habis hanya dalam tempoh 30 minit selepas kaunter dibuka hari ini.
Ketidakcekapan dalam penjualan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil turut menjadikan keadaan bertambah kecoh.
Kaunter jualan tiket mula dibuka pada pukul 10 pagi bagaimanapun penyokong Harimau Malaya sudah pun mulai beratur seawal 6 pagi dan keadaan semakin buruk apabila tiada penghadang garisan bagi membolehkan mereka beratur dengan teratur.
Menianggarkan 6,000 penonton brrmalam di Bukit Jalil untuk memastikan mereka menjadi orang terawal tiba apabila kaunter tiket dibuka.
Dianggarkan lebih 6,000 penyokong bermalam di Bukit Jalil untuk menjadi orang terawal tiba apabila kaunter tiket dibuka.
Sebaik sahaja kaunter tiket dibuka, penyokong mula berasak-asak sehingga menyebabkan ada yang pengsan dan terpaksa diusung keluar oleh orang ramai.
Menurut penyokong Malaysia, Lailatul Maisara Zazali dia sudah melakukan sedaya upaya untuk mendapatkan tiket final, namun gagal selepas diasak ribuan penyokong yang berada di sekelilingnya.
“Saya datang dari Perak semata-mata ingin mendapatkan tiket perlawanan ini kerana saya ada cuba membelinya dalam talian namun gagal.
“Tekad untuk mula beratur di stadium seawal pukul 5 petang semalam namun saya gagal untuk membelinya kerana ramai berasak-asak dan saya sudah tidak tahan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.
Difahamkan sebanyak empat kaunter dibuka di Pintu A namun tidak cukup untuk menampung jumlah kehadiran penyokong yang membanjiri stadium.
Dikatakan seramai 30 penyokong pengsan dan ada dalam kalangan mereka diberikan rawatan kecemasan oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Lebih parah lagi apabila ada penyokong wanita yang dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an terpaksa diusung keluar selepas tidak sedarkan diri akibat dipijak.
Malaysia akan menentang Vietnam di Bukit Jalil Selasa ini sebelum beraksi di Stadium Nasional My Dinh bagi aksi timbal balik pada 15 Disember ini. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan