Tony Fernandez (kiri) berswafoto bersama peserta program Executive Talk bersama warga UniSZA di kampus universitI itu di Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.-UTUSAN ONLINE
KUALA TERENGGANU 9 Dis. - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd. (AirAsia) bersedia menawarkan penerbangan khas bagi membawa penyokong Harimau Malaya ke Hanoi pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2018, Sabtu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bagaimanapun berkata, jumlah pesawat yang bakal disediakan bagi tujuan tersebut bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa lapangan terbang Hanoi di samping prestasi pasukan negara dalam perlawanan final pertama, lusa.
Katanya, penyediaan penerbangan khas itu secara tidak langsung dapat memastikan skuad Tang Cheng Hoe mendapat sokongan padu dalam perlawanan timbal balik berkenaan sekali gus merampas semula piala kejohanan berprestij yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2010.
"Kita akan menggunakan pesawat yang lebih besar jika diberi kelulusan di samping akan turut menambah bilangan pesawat.
"Buat masa ini kita tidak pasti lagi jumlahnya tetapi penting untuk kita lihat bagaimana persembahan skuad negara pada lusa dan jika prestasi mereka cemerlang sudah pasti ramai penyokong mahu bertandang ke Hanoi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Executive Talk bersama warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Auditorium Bangunan Akademik universiti itu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.
Pada aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional Rajamangala di Thailand baru-baru ini, AirAsia menyediakan sebuah pesawat penerbangan khas membawa penyokong Harimau Malaya khususnya anggota kelab Ultras Malaya.
Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki menggunakan format timbal balik dengan skuad negara akan melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil terlebih dahulu lusa sebelum aksi final kedua di Hanoi, Sabtu depan. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan