Isu jualan tiket berulang lagi. Setiap kali tiba perlawanan penting seperti perlawanan akhir, permintaan terhadap tiket perlawanan sentiasa tinggi dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak dari dahulu lagi masih belum mempunyai kaedah yang terbaik bagi memperkemaskan sistem penjualan tiket.
Sudah banyak kali insiden penyokong pengsan akibat dirempuh oleh lautan manusia yang berebut membeli tiket perlawanan. Bayangkan keadaannya seperti pelarian perang yang sedang kelaparan datang beramai-ramai untuk merebut makanan.
Layakkah penyokong bolasepak tempatan dilayan sebegini?
Beberapa penyokong didapati pengsan akibat sesak nafas selepas ‘bermalam’ di depan kaunter tiket sejak semalam.
Vietnam amalkan penjualan tiket secara online 100%
Semalam seorang wartawan dari Vietnam, Tran Van Trung melakukan tinjauan di kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil. Beliau terkejut dan tidak menyangka penyokong Malaysia begitu fanatik dan dianggap “gila” kerana sanggup tidur di depan kaunter tiket.
Berdasarkan perkongsian daripada salah seorang wartawan daripada Fox Sports, Keeshanan Sunadresan melalui laman twitternya, para penyokong tiba sejak pukul 8.00 malam dengan membawa makanan, minuman dan juga khemah bagi menunggu kaunter yang dijadualkan dibuka pada jam 10 pagi, hari ini.
Mengulas mengenai situasi itu, Tran Van Trung menyifatkan penyokong Malaysia lebih gila daripada penyokong negaranya dan beliau tidak pernah melihat fenomena seperti itu.
“Saya tak pernah lihat (suasana) ini, orang ramai beratur sejak tengah malam, beberapa jam sebelum daripada kaunter dibuka.
“Ini lebih gila daripada penyokong Vietnam! Saya harap kesemua mereka yang beratur berjaya membeli tiket seterusnya dapat menyaksikan perlawanan yang hebat di Bukit Jalil.” katanya melalui Fox Sports.
Malah, beliau turut menjelaskan Vietnam telah melaksanakan sistem jualan dalam talian sepenuhnya jika pasukan mereka berjaya memasuki peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir.
Hal ini kerana mereka sedar permintaan terhadap tiket pasti tinggi jika melibat perlawanan yang penting.
“Di Vietnam, kami hanya menjual tiket secara fizikal semasa peringkat kumpulan. Bagi aksi separuh akhir dan perlawanan akhir, semua tiket dijual secara online.” jelasnya.
Hari ini FAM telah mengumumkan sebanyak 80,000 keping tiket telah habis dijual termasuk tiket daripada jualan dalam talian.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan