FARIZAL ketika dalam sidang akhbar menjelang aksi perlawanan akhir kedua Piala AFF di Bangunan Persekutuan Bolasepak Vietnam, Hanoi, hari ini.- FOTO UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Jelasnya, sekiranya empat tahun lalu perkara sama mampu dilakukan tidak mustahil ianya dapat diulangi sekali lagi ketika Farizal turut menjadi watak penting ketika pasukan negara melakar kemenangan 4-2 di Hanoi dalam saingan Piala AFF 2014.
“Saya tidak mahu cakap banyak, kami datang ke sini hanya untuk menang dan membawa pulang piala. Jika empat tahun dulu kita mampu melakukan maka tidak mustahil mampu dilakukan sekali lagi.
“Cuma pemain perlu lebih bersabar dalam melakukan serangan dan bertahan agar kesilapan dalam dua aksi sebelum ini tidak diulangi lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Persatuan Bolasepak Vietnam, hari ini.
Di atas kertas segalanya tampak sukar buat anak buah Tan Cheng Hoe untuk merebut kejuaraan selepas seri 2-2 dalam pertemuan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.
Malaysia tiada pilihan lain, selain menang manakala pasukan di ranking ke-100 FIFA itu hanya memerlukan keputusan seri 0-0 atau 1-1 untuk dinobatkan sebagai jaguh Asia Tenggara.
Mengulas mengenai keadaan cuaca dan keyakinan rakan sepasukan lain, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memberitahu semua berada dalam keadaan baik.
“Cuaca baik, pemain cukup bermotivasi dan bersemangat untuk turun malam esok. Apa pun saya mengharapkan kedua-dua pasukan dapat bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan memperagakan aksi final terbaik,” ujarnya yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang ketika di Bukit Jalil.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan