Sebagai rekod, skuad negara sedikit tempang ketika seri 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lalu ekoran kecederaan yang dialami oleh Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Syaz­wan Andik selain penggantungan satu perlawanan yang di­terima Syahmi Safari.
Namun, Cheng Hoe telah mengesahkan kesemua pemain terbabit sudah bersedia untuk diturunkan dalam misi ‘wajib menang’ Harimau Malaya jika berhasrat untuk menjulang gelaran kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu buat kali kedua.
“Saya harap ketiga-tiga pemain pertahanan ini dapat mem­bantu skuad negara pada final kedua nanti memandangkan ma­sing-masing bebas daripada kecederaan dan bersedia diturunkan.
“Namun, kita tahu Vietnam memiliki kelebihan berdasarkan corak serangan pantas dan saya harap mana-mana pemain yang diberi peluang nanti perlu lebih fokus agar tidak dibolosi dengan mudah,” katanya kepada pemberita semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut mengakui akan ada ‘pelan B’ yang mana formasi pasukan bakal ditukar khususnya di bahagian pertahanan tetapi ia akan dilakukan mengikut keadaan dan keputusan semasa nanti.
“Saya akui pada final pertama kelmarin kita telah menukar formasi kepada 3-4-3 kerana sedikit terdesak untuk mencari kemenangan selain mencari kesta­bilan dalam menahan asakan Vietnam. Mungkin formasi itu akan digunakan sekali lagi tetapi ia masih belum diputuskan.
“Apa yang lebih penting ketika ini adalah pemain perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Vietnam memasuki musim sejuk dan saya harap ia tidak terlalu menjejaskan momentum kami,” katanya.
Kali terakhir skuad negara menjuarai trofi Piala AFF Suzuki adalah pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dengan menewaskan Indonesia di pentas final.