Tambahnya, sekalipun tidak menjaringkan gol namun dia berharap mampu memainkan peranan penting buat pasukan negara menjelang aksi menentang Vietnam pada final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.
“Kalau boleh saya tidak mahu terlepas peluang menjaringkan gol pada edisi ini, tapi lagi penting adalah pasukan dapat pulang ke Malaysia dengan membawa pulang piala.
“Cuaca agak sejuk namun pengalaman beraksi di luar negara memberi sedikit kelebihan untuk saya menyesuaikan diri. Saya harap rakan sepasukan dapat beri lebih sokongan untuk memudahkan saya menembusi pertahanan lawan,” katanya yang tidak sabar untuk memberi aksi terbaik.
Akhyar yang lebih mesra dengan panggilan Mat Yat memberitahu, kedua ibu bapanya yang baru pulang dari mengerjakan umrah sentiasa mendoakan kejayaan dia dan juga pasukan.
“Ibu dan ayah saya baru pulang dari umrah dan mereka sentiasa mendoakan kejayaan saya dan pasukan. Kalau kata-kata semangat memang banyak daripada semua keluarga.
“Lakukan yang terbaik, jangan cepat putus asa dan bermain bersungguh-sungguh demi negara,” katanya.
Sepanjang kejohanan tersebut, Akhyar hanya sekali diturunkan dalam kesebelasan utama iaitu ketika bertemu Vietnam di Hanoi manakala rata-rata hanya diturunkan sebagai pemain gantian.- UTUSAN ONLINE