Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 9 Disember 2018

Angkara sikap monopoli, tamak


BUDAYA ‘ulat tiket’ yang menjual tiket sesuatu perlawanan bola sepak pada harga lebih tinggi dan berlipat kali ganda sehingga menzalimi pembeli merangsang jenayah penipuan tiket.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, akad jual beli tiket oleh ulat berkenaan adalah haram kerana mengandungi unsur ghabn dan ihtikar.
“Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah ‘ulat tiket’ belum lagi dimasukkan secara rasmi sebagai simpulan bahasa yang diiktiraf, namun istilah ini boleh diterima sebagai terjemahan daripada perkataan ‘tout’ yang juga merujuk kepada penjual tiket secara haram.
“Maka, istilah ‘ulat tiket’ merujuk kepada golongan yang berniaga dengan cara membeli tiket pada harga asal di kaunter yang sah, terutama pada musim permintaan tinggi, seperti perlawanan akhir atau musim hari raya, kemudian menjual balik dengan harga yang lebih tinggi.
“Harga jual balik tiket itu boleh mencecah sehingga lima kali ganda atau lebih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkifli berkata, pihaknya berpendapat fenomena ulat tiket itu berpunca daripada sikap monopoli dan tamak yang memberi kesan kepada masyarakat khususnya pembayar cukai yang tidak berpuas hati dan berasa tidak adil kerana terpaksa membayar lebih.
Justeru, katanya, tindakan itu adalah hampir dengan makna al-ghabn al-fahisy dan ihtikar yang diharamkan oleh ramai ulama.
“Dari sudut istilahnya, al-ghabn bermaksud kekurangan pada salah satu alat pembayaran akibat manipulasi yang mana kekurangan pada harga saat menjual dan membeli akibat manipulasi pihak tertentu.
“Kekurangan ini boleh dirasai oleh pihak pembeli dan penjual pada beberapa keadaan iaitu dari sudut pembeli, kekurangan harga bermaksud harga dibayar tidak setara dan tidak sesuai dengan nilai barang diterima.
“Manakala dari sudut penjual, harga yang diterima tidak sebanding dengan nilai barang yang sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, meskipun pensyariatan khiyar al-ghabn menjadi khilaf dalam kalangan ulama, namun beliau berpendapat khiyar itu berlaku.
“Secara umum, seorang pembeli apabila hendak membeli (khususnya barang-barang yang bernilai tinggi) tidak akan sepakat dengan penjual kecuali jika dia merasa bahawa wang yang akan dibayarnya sesuai dengan nilai barang yang dibeli.
“Apabila dia merasakan tidak berbaloi wang yang dibayar dengan nilai barang, maka dia tidak akan melakukan urusan jual beli.
“Komitmen ini walaupun tidak dilafazkan dan tidak dijelaskan dalam jual beli, namun ia termasuk komitmen yang terzahir daripada banyak faktor.
“Bukti yang jelasnya adalah ada pilihan tawar menawar dan bertanya kepada beberapa tempat lain yang menjual barang itu,” katanya.
Menurutnya, Islam melarang segala bentuk perkara yang merugikan orang lain seperti dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
Beliau juga mencadangkan agar undang-undang berkaitan ulat tiket digubal supaya tidak berlaku manipulasi dalam masyarakat di negara ini seperti undang-undang oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang memantau kegiatan ulat tiket bas ekspress.
“Kami juga menyeru kepada mangsa untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan polis sekiranya berdepan dengan kes ulat tiket, sama ada membabitkan perniagaan atas talian dan secara langsung.
“Ini bagi memberikan punca kuasa kepada badan terbabit untuk bertindak dan mengekang fenomena ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan