KUALA LUMPUR: Pencalonan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi jawatan Naib Presiden dan juga EXCO Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) disifatkan sebagai satu penghormatan kepada badan induk itu.
Bagaimanapun, Hamidin menegaskan beliau perlu memikirkan mengenai pencalonan terbabit terlebih dahulu sambil menjelaskan masih memiliki banyak lagi masa sebelum membuat apa-apa keputusan mengenai perkara itu.
Katanya, meskipun dilihat mendapat sokongan kuat untuk menerima pencalonan bagi jawatan di badan induk bola sepak Asia itu, namun Hamidin menegaskan keutamaannya adalah kepada FAM.
"Saya dimaklumkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John semalam (kelmarin) mengenai pencalonan saya sebagai Naib Presiden dan EXCO di mana saya perlu memilih salah satu daripada pencalonan yang diterima.
"Ini satu penghormatan kerana Malaysia sering diberi peluang untuk memegang jawatan yang penting tetapi ini baru pencalonan. Saya boleh menarik diri bila-bila masa sebelum pemilihan yang akan berlangsung pada April tahun depan.
"Saya tahu ada ramai pihak yang sudah menyatakan sokongan seperti Myanmar dan Korea Selatan tetapi saya akan putuskan kemudian. Saya juga kena tahu sama ada kalau saya boleh memegang jawatan itu sekiranya bertanding tetapi buat masa ini, ia bukanlah perkara mustahak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Nilai, semalam.
Terdahulu, AFC mengesahkan lima jawatan Naib Presiden bakal menjadi rebutan yang menyaksikan Hamidin menjadi seorang daripada empat calon dari rantau Asia Tenggara pada pemilihan yang akan berlangsung 6 April 2019.
Tiga lagi calon untuk merebut jawatan itu termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Thailand, Somyot Poompanmoung, Dr Tran Quoc Tuan (Ahli Jawatankuasa Persekutuan Bolasepak Vietnam) dan Zaw Zaw (Presiden Persekutuan Bolasepak Myanmar).
Pada kongres itu juga, badan induk berkenaan akan memilih enam ahli majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan sembilan ahli jawatankuasa AFC.
Ketika ini, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi wakil tunggal Malaysia di AFC dengan memegang jawatan sebagai ahli majlis FIFA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan