[VIDEO] Sampai bila harus begini?
Penyokong rayu FAM perbaiki sistem penjualan tiket
BEBERAPA penyokong hampir pengsan dibantu oleh orang ramai dan anggota keselamatan ketika mahu mendapatkan tiket final pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Keadaan juga kecoh ketika penyokong mahu mendapatkan tiket final Sukan SEA 2017, Piala Malaysia dan Piala FA.
Ini bukan kali pertama tetapi ia tetap berulang sehingga ada yang pengsan, berpijak-pijak dan cedera ketika cuba mendapatkan tiket final pertama Piala AFF 2018 hari ini.
Kecewa dengan isu penjualan tiket yang seolah-olah tidak berpenghujung, peminat merayu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan perubahan drastik dalam sistem penjualan tiket agar pembelian dapat dilakukan dengan sistematik serta efisien.
Hari ini, lebih 15,000 penyokong hadir di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk membeli baki 32,000 tiket yang ditawarkan. Sebahagian besar bermalam sejak malam tadi manakala ramai yang pulang hampa biarpun sudah berjam-jam beratur.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pintu A Stadium Nasional Bukti Jalil, ketiadaan penghadang besi menyebabkan penyokong berbaris lebih empat barisan sedangkan hanya empat kaunter dibuka.
Apabila terlalu banyak barisan dibuat, penyokong berpusu-pusu sebaik sahaja kaunter dibuka, sekali gus menyebabkan kekecohan malah ada yang mengambil kesempatan memotong barisan sehingga berlaku pergaduhan.
Video oleh AMIR KHALID
Situasi semakin gamat apabila 30 penyokong pengsan manakala seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an dipijak kerana keadaan terlalu sesak.
Situasi semakin gamat apabila 30 penyokong pengsan manakala seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an dipijak kerana keadaan terlalu sesak.
“Sistem penjualan tiket teruk. FAM sepatutnya bersedia lebih awal. Jangan tunggu jadi macam ini baru nak bertindak,” kata Azre Shahriman.
Beberapa penyokong lain pula meminta Utusan Malaysia menyampaikan kepada FAM agar mengikut sistem penjualan tiket di Eropah yang disifatkan lebih tersusun.
Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah melaksanakan sistem tiket baharu melalui telefon bimbit berdasarkan teknologi blockchain.
Sistem itu berjaya menjual 50 peratus tiket final Liga Europa 2018 di Lyon, Mei dan mereka kemudian memutuskan untuk meningkatkan jangkauan teknologi.
Lebih menyakitkan hati, ada penyokong berani menjual semula tiket sebaik sahaja dapat membelinya berhampiran kaunter pada harga RM100, dan ‘perniagaan’ tersebut mendapat sambutan.
Sementara itu, sistem penjualan tiket di rangkaian sukan Al-Ikhsan cawangan IOI City Mall dilihat lancar apabila mereka memperkenalkan sistem kupon bernombor.
Biarpun jumlah jualan tidak setinggi di Bukit Jalil iaitu 1,000 keping, namun cara mereka mengeluarkan nombor tidak memerlukan peminat menunggu lama.
Peminat terus membeli sebaik sahaja nombor giliran dipanggil, dan bagi yang gagal mendapatkan nombor mereka boleh pulang lebih awal tanpa perlu terus beratur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan