KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam meluahkan pihaknya terkilan dan merasakan tindakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) adalah tidak profesional berhubung isu penjualan tiket Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 yang dimuat naik di laman sosial Facebook Selasa lalu.
PSM telah memuat naik status di Facebook rasminya dengan menyatakan perasaan kesal selepas keengganan FAM untuk bekerjasama dengan pihaknya bagi urusan sistem tiket bagi perlawanan AFF tahun ini.
PSM turut mendedahkan syarikat yang digunakan oleh FAM untuk pengurusan tiket adalah bukan merupakan syarikat tiket yang dilantik oleh PSM iaitu Seat Advisor melalui laman web myticket. asia seperti mana kebiasaan bagi acara-acara bertiket lain yang diadakan di Bandar Sukan Kuala Lumpur.
Ekoran situasi tersebut, Stuart merasakan kenyataan yang dikeluarkan PSM tersebut telah menimbulkan perasaan kurang senang FAM apabila ia dimuat naik di laman sosial yang dilihat kurang profesional terutamanya dalam industri bola sepak negara.
“Sepatutnya situasi seperti ini tidak berlaku kerana ia boleh diselesaikan secara dalaman. Apabila berlaku, ia jelas memperlihatkan PSM bertindak secara tidak profesional sedangkan FAM sebelum ini telah menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai laman rasmi skuad bola sepak negara bukan untuk tempoh sehari dua sahaja.
“Kita tahu PSM berbuat demikian kerana memilih untuk ‘cuci tangan’ berkenaan sistem penjualan tiket dan ingin memaklumkan bidang kuasa tiket terletak di bawah FAM. Namun apabila menggunakan ayat ‘kesal selepas keengganan FAM untuk bekerjasama’ secara tidak langsung telah menunjuk seolah-olah FAM mempunyai masalah dengan PSM.
“Jika menggunakan khidmat PSM, harga tiket akan meningkat dan membebankan penyokong. Kini harga tiket lebih mahal jika dibeli secara atas talian berbanding dibeli dari kaunter dengan harga tetap sama seperti harga asal,” katanya ketika dihubungi hari ini. - K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan