MOHAMADOU SUMAREH (kiri) menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Padang Latihan USI M, Nilai semalam. – FB FAM
KUALA LUMPUR 21 Nov. - Mohamadou Sumareh mendedahkan, tiada pemain berlagak ‘diva’ adalah rahsia dia cepat menyesuaikan diri dengan skuad bola sepak kebangsaan.
Biarpun baru sebulan menyarung jersi Harimau Malaya, pemain kelahiran Gambia itu sering mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk disenarai dalam kesebelasan utama kerana serasi bersama rakan-rakan baharunya.
Menurut Sumareh, 24, dia menerima layanan baik daripada pemain lain sehingga merasakan Harimau Malaya seperti satu keluarga besar.
Semangat kekeluargaan tinggi yang ditunjukkan skuad kebangsaan juga menjadikan dia amat bersemangat untuk membantu pasukan itu melangkah ke separuh akhir Piala AFF 2018 dengan mengalahkan Myanmar, Sabtu ini.
“Saya sukakan pasukan ini. Tiada ‘super star’ dalam skuad. Semua adalah kawan saya dan itulah yang saya suka tentang pasukan kebangsaan.
“Pada awalnya saya jangkakan mungkin ada sesuatu yang kurang menarik (apabila menyertai Malaysia)...ya anda tahu?
“Bagaimanapun jangkaan saya meleset. Baik pemain muda mahu pun senior, tiada yang lebih, semuanya sama.
“Mereka melayani saya dengan baik. Saya rasakan seperti ini rumah saya. Sungguh mengagumkan. Kami bagai satu keluarga di sini,” kata pemain berusia 24 tahun itu ketika ditemui dalam sesi latihan di padang latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai semalam.
Bintang sayap Pahang itu juga menegaskan, dia tidak mahu menetapkan dalam fikirannya untuk memburu gol dalam setiap perlawanan, sebaliknya hanya mahu membantu Malaysia mencatat kemenangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil hujung minggu ini.
“Jaringkan gol memang penting tetapi membantu pasukan meraih tiga mata lagi penting kerana ia boleh membolehkan kami mara ke separuh akhir..itu yang lebih mustahak. Bagi saya menang penting, kalau jaringkan gol alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, penyerang negara Ahmad Hazwan Bakri menyifatkan Malaysia tiada alasan untuk tewas atau seri ketika berdepan Myanmar memandangkan mereka beraksi di laman sendiri.
“Nak tak nak kami kena menang sebab ini sahaja (peluang) yang tinggal. Lagi pun kita bermain di laman sendiri. Ini peluang terbaik kami,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan