Subkhiddin
BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh menegaskan, keluarganya sentiasa diutamakan selepas bersara daripada mengendalikan perlawanan bermula pada 2011 dan terbaharu membuat keputusan untuk berundur dalam badan induk bola sepak negara.
Subkhiddin, 51, mengakui amat berat untuk melakukan perkara yang besar ekoran bidang pengadilan sudah sebati dalam dirinya, biarpun beliau masih diperlukan oleh beberapa pihak lain.
“Dalam banyak perkara selepas saya bersara sebagai ‘pengadil’ pada 2011, keluarga menjadi keutamaan saya.
“Bagaimanapun, bidang pengadilan ini sangat sukar untuk dipisahkan begitu sahaja dan keluarga saya memahaminya. Untuk itu, sehingga waktu ini saya masih sibuk bertugas dengan beberapa pihak yang masih memerlukan khidmat saya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini Subkhiddin membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatan dalam badan induk berkenaan termasuk Exco setelah ahli keluarganya menerima kecaman hebat daripada netizen susulan pengadilan yang lemah oleh Suresh Jayaraman ketika aksi final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu FC I pada 27 Oktober lepas.
Sementara itu, Subkhiddin turut menyuarakan penghargaan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin atas kepercayaan yang diberikan sebelum ini serta sentiasa menghormati dengan keputusannya untuk berundur diri.
“Saya amat terima kasih kepada barisan Exco khususnya Presiden FAM yang memahami keperluan untuk saya mengambil keputusan besar ini.
“Hamidin dan saya tetap mempunyai hubungan yang baik serta kerap berbincang sebelum sesuatu perkara berkaitan dengan keperluan pengadil diputuskan.
“Saya juga ingin ucapkan tahniah dan semoga pengganti saya akan dapat melaksanakan tugasannya dengan lebih baik pada masa depan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan