PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala AFF selepas menewaskan Myanmar 3-0 dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tekanan besar yang terpaksa dihadapinya sepanjang minggu ini akhirnya hilang sebaik sahaja melihat pasukannya layak ke separuh akhir Piala AFF setelah menewaskan Myanmar 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Selepas tewas 0-2 kepada Vietnam pada 16 November lalu, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan Myanmar untuk menempatkan diri dalam empat pasukan terakhir.
Tekanan semakin dirasai apabila Myanmar memerlukan sekurang-kurangnya satu mata sahaja untuk ke separuh akhir dan berdasarkan di atas kertas mereka mempunyai kelebihan kerana menghuni tangga ke-141 dunia berbanding Malaysia ke-169.
“Lepas satu tekanan yang cukup besar terutamanya dalam kalangan pemain sepanjang minggu ini. Walaupun menang tetapi adakalanya saya akui ketika berlatih pemain berada dalam tekanan.
“Saya fikir penting untuk kami mendahului permainan kerana ia akan memberi keyakinan kepada pemain namun pada masa sama saya lihat serangan balas Myanmar berbahaya.
“Masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dan walaupun sudah layak ke separuh akhir saya mahu pemain kekal fokus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini semalam.
Malaysia berada di depan menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha sebelum Zaquan Adha Abd. Radzak meledak dua gol dan berdasarkan empat perlawanan, tiada satu pun gol Harimau Malaya dijaringkan oleh pemain muda.
“Bola sepak permainan secara berpasukan. Saya fikir siapa yang menjaringkan gol itu tidak mustahak kerana yang penting kita menang. Memang pemain muda seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid tidak menjaringkan gol tetapi mereka bekerja keras dalam latihan dan perlawanan.
“Mereka juga menunjukkan peningkatan daripada segi keyakinan bermain secara kumpulan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan