BARISAN pemain FELCRA FC ketika saingan Liga Malaysia musim 2018.
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Felcra FC mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga Super 2019 dengan memberikan alasan kekangan kewangan, kata Timbalan Presiden kelab itu, Datuk Hazian Murad.
Katanya, kelab itu tidak mampu bersaing dengan belanjawan sekitar RM4 juta sedangkan kos yang diperlukan untuk bersaing dalam liga utama negara ini ialah RM12 juta.
“Kami memutuskan penarikan diri ini juga kerana tidak mahu jadi pasukan belasahan yang imej memalukan ini akan turut terpalit kepada Felcra Berhad.
“Lebih baik kami tarik diri awal-awal lagi malah kami tidak mahu jadi macam beberapa pasukan yang tidak dapat bermain sekerat jalan liga.
“Dengan bajet sekadar RM4 juta, kami sudah boleh tahu di mana kedudukan kita nanti. Mana mampu hendak gunakan khidmat pemain-pemain yang bagus-bagus dengan sebanyak itu.
“Dengan memaklumkan keputusan pasukan lebih awal, kami harap ini akan memudahkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan Liga Super Malaysia (MFL) mencari pasukan gantian,” katanya.
Menurutnya, pengurusan kelab juga masih mempunyai tunggakan gaji antara dua hingga tiga bulan dengan pemain-pemain dan pegawai pasukan bagi musim 2018.
Felcra FC dinaikkan ke Liga Super 2019 setelah muncul naib juara Liga Perdana 2018 di belakang Felda United. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan