Keputusan itu menyaksikan Vietnam kekal di tangga kedua kumpulan, manakala pasukan kebangsaan turun ke tempat ketiga, Myanmar pula menjadi peneraju baharu dengan berkongsi enam mata.
Dalam aksi itu, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe melakukan sedikit rombakan dengan menurunkan Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan.
Namun Vietnam yang tampil sebagai pasukan pilihan, tetap berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 hasil jaringan Nguyen Cong Phuong.
Skuad negara kembali mengatur rentak, namun gagal menjelmakan jaringan pada babak pertama perlawanan.
Bersambung di separuh masa kedua, Harimau Malaya kembali mengasak benteng pertahanan The Golden Dragon, namun keghairahan pasukan kebangsaan akhirnya dihukum oleh pasukan tuan rumah.
Nguyen Anh Duc menggandakan jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-60, sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad negara berdepan misi wajib menang ke atas Myanmar yang menewaskan Laos 3-1 jika berhajat untuk melepasi peringkat kumpulan.
Ini kerana Harimau Malaya kini menghuni tangga ketiga selepas dipisahkan perbezaan jaringan biarpun berkongsi enam mata bersama Vietnam dan Myanmar.