Sebaliknya, pelancaran F:30 jelas menunjukkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mahu meletakkan penanda aras badan induk bola sepak negara menjelang 2030 ke tahap lebih baik sejak mengemudi persatuan tersebut bermula Julai lalu.
Stuart mengakui FAM telah mengambil kira semua aspek sedia ada dan percaya dengan perancangan yang ditetapkan sebanyak tiga fasa secara keseluruhannya, bahkan ia tidak mustahil untuk dicapai.
“Saya yakin F:30 akan berjaya kerana idea ini sangat realistik dan mampu dicapai.
“Ia bukan sekadar angan-angan atau omong-omong kosong yang hanya sedap untuk didengar, sebaliknya ia lebih daripada itu.
“Selepas memahami setiap garis panduan F:30, pastinya semua dapat melihat untuk tempoh empat tahun pertama, ia bukan­nya satu peranca­ngan dan angan-angan sahaja.
“Ia adalah satu perkara yang boleh diukur kerana sebelum membuatnya kita telah memikirkan terlebih dahulu apa yang ada dan kini, saya berani katakan ia sangat realistik untuk dicapai dalam tempoh 12 tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran F:30 di Kuala Lumpur kelmarin.
Pada masa sama, FAM sedia memikul peranan utama dalam pembangunan bola sepak negara dan ia merupakan titik permulaan untuk melangkah lebih jauh selepas ini.
“Kadangkala kita hanya pentingkan ranking dan pusingan kelayakan, namun secara keseluruhan tanggungjawab FAM sebenarnya lebih besar daripada sekadar bermain bola sepak.
“Kita sebagai badan induk bola sepak negara perlu ba­ngunkan bola sepak bukan bermula pada peringkat elit tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Dalam F:30, FAM mahu ambil tanggungjawab ke atas pembangunan sukan itu kerana untuk mendapatkan kemenangan di atas padang, pembangunan memainkan peranan yang sangat pen­ting,” katanya.