MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID
KUALA LUMPUR 1 Nov. – Dua pemain muda sensasi negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Safawi Rasid mendahului senarai pencalonan untuk merebut trofi Pemain Muda Harapan dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18) Isnin ini.
Pemain Kedah, Muhammad Akhyar, 19, dan Muhammad Safawi, 21, yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dicabar oleh rakan mereka dalam skuad muda negara Nik Akif Syahiran Nik Mat, 19, yang beraksi bersama Kelantan.
Muhammad Akhyar turut berada dalam senarai akhir bagi anugerah Penyerang Terbaik ABK18 bersama-sama Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC).
Muhammad Safawi pula turut tersenarai bagi kategori Pemain Tengah Terbaik bersama Nik Akif Syahiran dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).
Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang muncul wira pasukan Perak apabila membantu skuad The Bos Gaurus menjuarai Piala Malaysia Sabtu lepas, merupakan antara calon untuk kategori Penjaga Gol Terbaik bersama-sama Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).
Menurut kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebanyak 25 kategori telah disenaraikan bagi ABK kali ini, dengan tambahan kategori terbaharu iaitu Pemain ASEAN Terbaik.
Sembilan daripada kategori itu telah melalui proses saringan oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 dan seterusnya undian yang dilaksanakan oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan dan 23 wakil media.
“Kesemua kategori dan pencalonan yang berkenaan telah diteliti dan disenarai pendek kepada 10 orang calon untuk setiap kategori oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 yang terdiri daripada enam ahli panel, termasuk ketua jurulatih bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee mewakili Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan