Muhammad Akhyar, 19, yang beraksi bersama Kedah dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawai berusia 21 tahun itu, akan mencabar pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran, 19, untuk anugerah berkenaan.
Muhammad Akhyar turut berada dalam senarai akhir bagi anugerah Penyerang Terbaik ABK18 bersama Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC).
Safawi pula turut tersenarai bagi kategori Pemain Tengah Terbaik bersama Nik Akif Syahiran dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).
Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang muncul wira pasukan Perak ketika membantu skuad The Bos Gaurus menjuarai Piala Malaysia Sabtu lepas, merupakan antara calon untuk kategori Penjaga Gol Terbaik bersama Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).
Menurut kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebanyak 25 kategori telah disenaraikan bagi ABK kali ini dengan tambahan kategori terbaharu iaitu Pemain Terbaik ASEAN.
Sembilan daripada kategori itu telah melalui proses saringan oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 dan seterusnya undian yang dilaksanakan oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan dan 23 wakil media.
“Kesemua kategori dan pencalonan yang berkenaan telah diteliti dan disenarai pendek kepada 10 orang calon untuk setiap kategori oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 yang terdiri daripada enam ahli panel termasuk ketua jurulatih Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mewakili Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan itu.
ABK18 yang akan berlangsung Isnin depan dan akan disiarkan secara langsung bermula pukul 9 malam di saluran Football Malaysia iflix dan Astro Arena. – Bernama



Tiada ulasan:
Catat Ulasan